Jumaat, 8 April 2011

Kenali Penulis sebelum kenal bukunya

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba ini untuk rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih yang sentiasa dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah, syukur ku panjatkan kepada Allah s.w.t. kerna telah menghadirkan ilham untuk menulis dan berkongsi sesuatu dengan pembaca sekalian. Berdoa dan terus berdoa semoga ianya sentiasa memberi manfaat untuk kita bersama…ameen.

Takkala mencari ilham untuk menulis, Allah s.w.t. menghadirkan sesuatu dan terdetik di hati. Lalu diri ini tersenyum sendiri…(^_^)

Masih teringat kata-kata seorang ustaz yang ana hormati takkala meminta beliau untuk membedah sebuah buku bagi program yang bakal dilaksanakan. Takkala menghulurkan buku kepadanya, beliau bertanya kepada ana.

“ustaz tak kenal siapa penulis buku nie, kamu kenal?”

Ana menggelengkan kepala, “saya juga tak kenal ustaz, saya baca je buku tu”.

“sebelum baca buku nie, mesti kenal siapa penulisnya. Baru kita faham apa yang dia mahu sampaikan. Sebab itulah kadang-kadang ada yang salah faham dengan penulis sebab dia baca buku ikut kefahaman dia dan bukan dari sudut kefahaman penulis”

Ana terdiam. Buku-buku yang ada di library kecil ana kebanyakannya ana tidak kenal siapa penulisnya. Dalam diam ana mengiayakan kata-kata ustaz, dan sejak dari hari itulah ana akan cari maklumat berkaitan latar belakang penulis sebelum baca buku yang ditulisnya.

Apabila baca buku yang ditulis oleh penulis disamping tahu latar belakang dirinya membuatkan ana mudah memahami apa yang ingin disampaikan. Dan hasilnya cukup memuaskan.

Lalu ana mula aplikasikan dalam kehidupan seharian. Jika dahulunya ana tidak dapat memahami cara dan kaedah pengajaran seorang pensyarah dan selalu sahaja merungut dalam hati kerna tidak senang dengan apa yang pensyarah buat sewaktu mengajar.

Tetapi, setelah menyelidik dan mengenali latar belakang pensyarah tersebut, ana sudah dapat mengerti dan memahami kenapa beliau bertindak sedemikian. Kefahaman itulah membuatkan ana terasa seronok dan bersemangat untuk berada dalam kelasnya.

Begitu juga dengan sahabat di sekeliling kita. Kadang-kala terbit perasaan marah, geram dan sakit hati dengan tingkah lakunya. Lalu kita salah faham dan menjauhinya. Namun, sebaik sahaja kita tahu hal yang sebenar, baru kita terasa bersalah kerna bersangka buruk kepadanya.

Kita mahu orang memahami kita, tetapi kenapa kita tidak cuba untuk memahaminya terlebih dahulu. Seringkali ana melihat ada orang yang terus menghentam dan mengherdik tanpa usul periksa, dan akhirnya dia malu sendiri.

Inilah tips dan kaedah yang sering ana gunakan takkala bergaul dan bersosial dengan masyarakat. Cuba dan terus mencuba untuk memahami gelagat manusia di sekeliling. Inilah uniknya ciptaan Allah s.w.t…

“melihat dan memandang dari sudut pandangan Allah s.w.t. dan bukan dari sudut akal fikiran manusia yang terbatas.”

Begitu juga dengan suruhan Allah s.w.t. supaya menutup aurat dengan sempurna. Ada yang masih menyatakan ianya menyekat kebebasan individu untuk mempamerkan kecantikan yang ada. Sedangkan Allah s.w.t. sudah mengaturkan syariat Islam dengan sebaik-baiknya.

Keadaan ini berlaku kerana kita tidak kenal Allah s.w.t…ana teringat kisah yang diceritakan oleh seorang ustaz kepada ana sewaktu kecil.

“takkala turunnya ayat al-Quran tentang pengharaman arak, para sahabat yang mendengar turunnya perintah pengharaman itu terus melemparkan botol arak yang berada ditangannya, rumah-rumah yang punya bertong-tong arak dengan segera dipecahkan, ada sahabat yang ketika itu sedang meneguk arak dengan segera dimuntahkan dan terus merasa jijik untuk minum arak tersebut”

Kenapa para sahabat berbuat demikian? Kerna mereka kenal Allah s.w.t… apa yang Allah s.w.t. suruh pasti akan ada kebaikan dan ganjaran disebaliknya dan apa yang Allah s.w.t. larang pasti akan ada kemudaratan dan balasan disebaliknya. Dan kini kita tahu arak begitu membahayakan dan memudaratkan kesihatan dan kewarasan akal.

Pegang nadi kalian dan rasailah denyutannya. Dan jawab, milik siapakah kita ini…? wassalam…


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)
blog comments powered by Disqus