Jumaat, 1 April 2011

Berpada dengan apa yang ada

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman & Islam yang Engkau kurniakan ini, hanya kepada Mu daku bersujud. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah Ya Allah, syukur ku panjatkan kepada Mu. Minggu-minggu yang ana lalui penuh dengan hikmah. Banyak perkara dan ilmu baru yang ana pelajari, terasa dekat denganNya. Moga hati ini sentiasa “hidup” dengan sihat. insyaAllah, amen.

Ada sesuatu yang ingin ana kongsikan dengan sahabat pembaca sekalian. Mungkin ada yang sudah dapat meneka dan mentafsir apa yang bakal ana coretkan setelah membaca tajuk artikel.

“berpada dengan apa yang ada”

Ayat yang cukup pendek, singkat, dan padat, tetapi punya maksud dan tafsiran dengan begitu mendalam. Kata-kata ini ana perolehi setelah bertanya kepada seorang ustaz.

“ustaz, macam mana ustaz boleh istiqomah dalam perjuangan Islam hingga ke hari ini?”

Jawabnya,“berpada dengan apa yang ada”

Ana bertanya lagi,“apa maksudnya?”

“Bersyukur dengan apa yang dimiliki”

Cukup setakat beberapa ayat itu, ana tidak bertanya dengan lebih mendalam. Sering kali ana berpesan kepada sahabat-sahabat, takkala berdamping dengan orang yang soleh dan solehah, jangan sekali-kali lepaskan peluang untuk mendapatkan manfaat darinya hatta sepotong ayat sekali pun.

Pada mulanya, ana juga kurang jelas dengan kata-kata ustaz ana. Tercari juga hikmah disebalik ayat yang diucapkannya. Beberapa bulan berlalu, ana tersenyum sendiri takkala mengingati semula kata-kata tersebut.

Ana tersenyum kerna ana terjumpa kata-kata lain yang menunjukkan dengan jelas maksud disebalik kata-kata ustaz ana.

“Orang yang merasa cukup dengan apa yang ada, itulah sebenarnya orang yang kaya”

Pernah tak kita dengar, ada orang kaya yang punya harta yang melimpah ruah tetapi tidak pernah merasa puas dan cukup dengan apa yang dimiliki. Jika sudah punya harta berjuta-juta, mahu dicari lagi hingga berbilion-bilion.

Tetapi berlainan pula dengan yang miskin, dapat makan nasi dalam satu hari yang kadang-kala berkuahkan kicap dan berlaukkan garam, itupun sudah merasa cukup buat dirinya. Begitulah juga sebaliknya.

Manusia ini tidak pernah merasa puas dengan apa yang dia miliki. Jika sudah dapat apa yang dia mahu, dia mahu yang lebih lagi. Itulah sifat manusia yang dipenuhi dengan nafsu. Lantaran itulah ramai yang kecundang dengan nikmat duniawi yang sementara cuma.

Siapa yang tidak mahu miliki rumah banglo bertingkat-tingkat, punya tanah beratus ekar, punya kereta BMW atau Mercedes 10 buah dan banyak lagi. Keinginan itu pasti ada, namun sampai bila keinginan itu mahu dituruti? Sebab nafsu manusia tidak pernah merasa puas dengan apa yang dimiliki.

Akhirnya semua itu hanya memakan dan menganaiya dirinya sendiri kerna kita tahu, harta yang di kumpul, pangkat yang di kejar dan kekuasaan yang di miliki itu tidak akan turut serta disaat kita dikebumikan nanti.

Ana juga kecundang di awalnya. Jiwa remaja yang mahukan arus kemodenan, takkala melihat orang lain menukar telefon yang lebih canggih, hati ini juga inginkannya. Takkala melihat orang lain miliki kamera, MP3, laptop dan sebagainya, hati ini juga inginkannya.

Akhirnya ana mula sedar, sampai bila keinginan itu mahu dituruti. Bukankah lebih baik jika bersyukur dengan nikmat yang telah Allah s.w.t. kurniakan buat kita. Takkala nikmat untuk bersyukur itu hadir, terasa diri ini merasa cukup dengan apa yang ada.

Malah terasa lebih bertuah jika dibandingkan dengan orang yang jauh lebih serba kekurangan dari kita. Maka, lafazkanlah Alhamdulillah………….(^_^)

Tergiang-giang kata-kata sahabat ana, “nak tahu berapa ramai yang bersyukur atas nikmat Allah s.w.t. senang je. Tengok berapa ramai yang lafazkan alhamdulillah takkala menerima sesuatu”

Ayuh sahabat, kita tarbiyah hati dan jiwa kita untuk merasa cukup dengan apa ada. Berpada dan bersyukur dengan apa yang dimiliki. Wassalam..(^_^)


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(“,)

blog comments powered by Disqus