Isnin, 5 November 2012

Indahnya Sabar & Syukur



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Segala puji hanya bagi Allah yang telah begitu banyak memberikan kenikmatan sehingga kita tidak mampu menghitungnya. Selawat dan salam kepada kekasih yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan mereka yang istiqomah mengikuti Baginda s.a.w

Alhamdulillah wa syukrillah, sangat bersyukur apabila diri sendiri dapat ‘kembali semula’ untuk membaca buku. Rasanya sudah lama ana tidak berkongsi mana-mana buku dalam ‘diari maya’ nie. Paling akhir ana kemaskini kira-kira tiga atau empat bulan lepas.

Allahu Allah, tak terkata rasa hati. Sangatlah sedih dengan diri sendiri sebab tidak mampu istiqomah untuk habiskan sebuah buku walaupun dalam tempoh satu bulan. Baca separuh, tinggal, sebab 'terliur' dengan buku lain. Salah satu sebab tidak mampu istiqomah habiskan satu buku.

Apabila sudah bekerja dirumah, pastilah banyak masa dihabiskan untuk menguruskan rumah dan jaga adik-adik. Ditambah pula apabila tempahan tudung labuh dan niqab masuk banyak. Ana tahu, ini cuma alasan kerana setiap orang mampu dan diberi peluang untuk berusaha ke arah yang lebih baik. 



Terasa diri tempang seketika apabila tidak membaca buku. Terasa kekurangan ilmu yang teramat sangat. Bagi ana, insan yang membaca punya pemikiran yang tajam, minda yang terbuka, ilmu yang sentiasa dikemaskini, lontaran pendapat dan hujahnya sentiasa berpandukan kepada buku atau kitab yang dibaca.

Apatah lagi wahyu pertama yang turun kepada manusia agung (Nabi Muhammad s.a.w) adalah iqra’. Dengan hanya satu buku, seolah-olah kita menjelajah ke seluruh dunia, seolah-olah kita pergi ke masa lalu dan masa depan melalui ‘mesin masa’ melalui buku yang kita baca.

Mana tidaknya, apabila kita membaca kitab karangan para ulama’, seolah-olah kita ‘hidup’ dizamannya dan sedang ‘bersoal jawab’ dengan beliau. Apabila kita membaca buku yang ditulis oleh penulis dari barat, seolah-olah kita berada ditempatnya dan sedang melalui kisahnya, walhal kita berada didunia yang berbeza dengannya. Itulah hebatnya insan yang membaca. Allahu Allah, semoga diri sentiasa istiqomah.

Jadi, apa yang ana buat untuk kembali istiqomah? Ana tahu ana tidak mampu untuk membaca apabila mata terpandang kain-kain yangmasih banyak belum dijahit. Ana tahu ana tidak mampu untuk duduk diam apabila ada adik-adik yang meminta itu dan ini untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

Maka, ana bawa buku ke mana sahaja ana pergi apabila keluar rumah. Adik ana pernah ‘merungut’ apabila ana minta dia pegang beg ana. Katanya, “beratnya beg mu, angah”. Ana jawab, “bawa buku, mestilah berat”.

Ada sahaja masa dan ruang seperti ketika kereta berhenti seketika di depan lampu isyarat, sambil menanti lampu isyarat hijau, ana sempat membaca beberapa helai muka surat. Sambil menanti orang lain selesai membeli barang, ana buka buku dan baca.

Buku yang ana baru selesai baca ini sangat istimewa bagi ana sebab ia mampu buatkan ana tidak sedar akan keadaan sekeliling. Selalunya ana akan baca ketika sedang menunggu barang yang dipos laju siap diproses.

Beberapa kali kerani di pejabat pos panggil, tetapi ana tidak sedar hinggalah ada yang mencuit bahu ana mengatakan barang ana sudah siap diproses. Sangat asyik membacanya…(^^,)

Kulit depan buku...(^^,)

Banyak sangat ilmu yang ana dapat melalui buku ini. Penulisannya bukan setakat disertakan dengan ayat al-Quran, hadis, kisah para Nabi dan ulama’, malah sentiasa dikaitkan dengan isu semasa disamping hikmah dalam kehidupan masyarakat sekeliling. Buku ini juga mengandungi penulisan karangan dari para ulama’ yang dicedok dari beberapa kitab.

Terasa ‘ditembak’ berkali-kali dan dimuhasabah sendiri setiap kali membaca bait-bait kata yang ditulis. Sangat sesuai buat mereka yang mahu ‘cuci’ hati dan berhijrah ke arah lebih baik. Buku ini ditulis oleh penulis dari Indonesia iaitu Abdillah F.Hasan. 

Ketika mencari kulit depan buku tersebut, ana jumpa satu lagi buku yang beliau tulis iaitu ‘setengah syukur, setengah sabar’. Terasa mahu pergi cari buku ini pula di kedai-kedai buku. 


Maka, ana syorkan kepada para pembaca sekalian untuk menjadikan buku-buku ini sebagai koleksi peribadi untuk tarbiyah hati dalam menjadikan diri sebaik-baik hamba buat Allah s.w.t. dan sebaik-baik manusia untuk orang lain.


Mahu tahu sesuatu?
Sangat indah bila bercinta dengan buku…(^^,)
Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Rabu, 24 Oktober 2012

Kita bertemu dengan orang yang salah ke?



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah…Alhamdulillah…Allahuakbar. Selawat dan salam buat kekasih hati yang membawa rahmat seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan seterusnya.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”.
(Surah Al-Baqarah, ayat 216)

Ana renung ayat ini sedalamnya, ana semak tafsiran ayat ini dalam penjelasan kitab yang ditulis oleh para ulama’. Akhirnya ana tersenyum, inilah jawapan kepada persoalan yang sering bermain diminda dan diajukan oleh sahabat-sahabat.

Apakah kita bertemu dengan orang yang salah? Apakah aturan atau impian yang kita mahukan sering tidak tercapai? Apakah jalan hidup kita sering ditimpa musibah dan bermasalah?

Jawapannya adalah TIDAK. Kenapa?

Dalam ‘basmalah’ sudah cukup membawa erti betapa Maha Pengasih dan Maha Penyayangnya Allah kepada makhluk yang diciptanya.  Allah tahu apa yang terbaik buat hambaNya, pastilah Allah akan aturkan hal yang baik-baik kepada kita.


Ana renung semula apa yang telah ana lalui sepanjang umur dan masa yang lalu. Terlalu banyak hal yang berlaku diluar perancangan dan kadang-kala ianya berlaku tanpa dapat dijangka kehadirannya.

Kisah ini ana sudah nukilkan pada artikel-artikel yang lalu seperti ini ‘Detik permulaan langkahku’. Ana diminta untuk tukar sekolah dari Maahad ke sekolah menengah biasa. Menurut akal manusia yang terbatas ini, ana jadi terlalu gerun dan bimbang jika ‘kematian’ iman dalam diri kerana sudah maklum, sekolah menengah biasa jauh daripada persekitaran yang solehah.

Saat diberitahu hal tersebut, peritnya untuk menerima  kerana ana bercita-cita mahu menyambung pengajian ke Timur Tengah. Tetapi disebabkan keputusan Bahasa Arab yang jatuh menjunam, abah mengambil inisiatif untuk meningkatkan akademik anaknya dengan menukarkan ana ke sekolah yang pernah menobatkan beliau sebagai pelajar cemerlang sekolah tersebut. Allahu Allah.

Dua tahun berada disekolah tersebut, peritnya masih terasa hingga kini. Saban hari mata sendiri melihat pergaulan bebas yang tidak terjaga, mulut yang sering bergosip dan mengumpat, apatah lagi pergaduhan dan bertumbuk menjadi ‘makanan’ para pelajar disana. 

Sebelum melangkah ke sekolah, mental dan fizikal perlu bersiap sedia untuk melalui hari yang mencabar dalam bergaul dengan manusia yang jauh dari fitrah Islam yang sebenar. Semua itu ana telan sendirian.

Tetapi, langsung tidak terlintas difikiran dan akal yang terbatas ini. Percaturan Allah sangat hebat. Hasil ‘didikan’ dari sekolah biasa tersebut, ianya berjaya membuatkan ana sedar bahawa dibahu ini terpikul satu amanah dan tanggungjawab sosial yang sangat besar.
Persekitaran yang dilalui dalam tempoh dua tahun itu berjaya membuka mata ana sendiri bahawa itulah realiti dan keadaan umat Islam kini yang sedang menuju ambang kemusnahan jika tidak ditangani dengan segera.

Maka, apakah apa yang ana lalui itu merugikan diri dan ditempatkan dalam posisi yang salah? Ya, pada mulanya. Tetapi tidak, pada akhirnya. Malah ana bersyukur diizinkan oleh Allah untuk belajar disekolah tersebut. Jika tidak bertukar sekolah, mungkin ana berasa selesa berada dizon selamat yang dikelilingi oleh para ustaz dan ustazah yang baik-baik tanpa menyedari dibahu ini terpikul amanah yang berat.

Ana teringat kata-kata seorang sahabat, “Kalau kita seorang yang kurang sabar atau panas baran, Allah akan beri kita sesuatu yang boleh ‘mengajar dan mendidik’ kita untuk menjadi seorang yang penyabar dan lebih tenang orangnya”.

Benar, ana setuju dengan kata-katanya. Adakalanya Allah hadirkan insan yang suka membuatkan kita sakit hati, marah dan kesabaran teruji. Kita merasakan sangatlah bahagia dan aman hidup jika tidak berjumpa dengan insan sebegini, padahal Allah mendidik kita dengan asbab melalui mereka untuk membuatkan kita lebih sabar.

Kadang-kala pula, Allah letakkan kita dalam situasi atau keadaan untuk membuatkan kita sedar bahawa kita buat silap. Boleh jadi ada sesuatu yang buatkan kita terasa ‘ditegur’ atau dimuhasabah sendiri tatkala melaluinya. 


Ana suka kata-kata ini. Ianya ditulis oleh penulis yang dikenali ramai. Sangat benar apa yang beliau kongsikan dalam facebook peribadinya. Indahkan punya peribadi seperti ini? (^^,)



----------------------------------------------------------------------

Kita punya impian,
kita juga punya misi hidup.
Jika takdir ditangan manusia,
Pasti kita mahu aturkan yang baik-baik sahaja.
Tapi yakinlah, pelangi yang hadir setelah hujan sangatlah cantik! (^^,)

Merasa cukup dengan yang sedikit.
Merasa syukur dengan yang banyak.

"sesiapa yang menyerahkan seluruh urusannya kepada Allah, Allah akan mencukupkan keperluannya".

.:: Wallahua’lam ::.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)