Selasa, 28 Mei 2013

Kembalilah pada Allah



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Dua hari lepas, ana menonton satu rancangan yang disiarkan dalam televisyen. Sekejap je tengok dan masa tu sudah berada dipenghujung rancangan.

Ketika itu, ana lihat seorang ibu diberikan hadiah dan penghargaan oleh anak-anak dan cucu buatnya. Ramai juga tetamu yang hadir. Mungkin membuat majlis keluarga agaknya.
Ibu tersebut ditemu ramah oleh media. Ada satu jawapan yang benar-benar memberi kesan kepada ana. 

“Mak cik tak pernah marah anak mak cik. Dari mula-mula berkahwin sampailah sekarang. Kalau mak cik terguris hati, mak cik kembali pada Allah. Mak cik ambil wuduk dan solat, minta doa dengan Allah supaya anak-anak lembut hati.”.

Allahu Allah…

Tak terkata bila dengar beliau berkata sedemikian. Sudah berpuluh tahun mendirikan rumah tangga, ada beberapa orang anak dan cucu, namun lansung tidak terluah rasa kecil dihati. MasyaAllah…

Allah, indahnya punya hati yang sebegini. Tiap kesulitan dan kesusahan yang dialami, hanya Engkau tempat mengadu. Tiada yang lain.

Petang itu, ana keluar untuk pergi pos barang pelanggan. Dalam perjalanan balik, ana berhenti di depan lampu isyarat. Ketika itu, mata ana terpandang sesuatu dari jauh.

Ana lihat ada seorang datuk sedang menyapu sampah di depan rumah. Cucunya keluar dari rumah dan berjalan ke arah jalan raya. Datuknya it uterus tarik telinga cucunya dan pukul pipinya dalam keadaan marah.

Mungkin tidak tahan sakit barangkali (hatinya mungkin lagi sakit apabila dimarahi dan ditengking), dia menangis teresak-esak. Datuknya terus marah sambil menarik tangan cucunya untuk masuk ke dalam rumah. 

Ana yang hanya melihat dari jauh turut merasa kasihan. Sedih melihat seorang kanak-kanak yang mungkin baru berusia 3 tahun dimarahi seperti itu.

Dalam hati, ana membisikkan kata, “ Ya Allah, aku mahu menjadi seperti ibu tadi! Sabar dan tabah dalam mendidik anak-anak. Bantulah hamba Ya Allah…”.

Jika kalian, hati yang bagaimana mahu kalian miliki?

Entah mengapa, ana jadi rindu pada Rasulullah s.a.w. apabila melihat manusia lain yang mempunyai akhlak dan peribadi yang indah.

“Rasulullah s.a.w. tidak marah apabila haknya diceroboh, tetapi Rasulullah s.a.w. marah apabila hak Allah diceroboh”.

Teringat satu kisah apabila Rasulullah s.a.w. berdakwah di sebuah kampung. Baginda s.a.w menyeru penduduk tersebut agar sujud pada Allah s.w.t. namun langsung tidak dihirau.

Rasulullah s.a.w. bukan sahaja diejek dan dimaki, malah turut dibaling dengan batu hingga terluka dan berdarah

Ketika Baginda s.a.w. duduk dan membersihkan lukanya, Jibrail a.s. datang dan berkata, “Wahai Nabi Allah, aku kasihan melihat kamu. Jika kamu mahu, aku boleh terbalikkan kampung tersebut dan menghancurkan penduduk yang berada di dalamnya”.
Kalian tahu apa jawapan Rasulullah s.a.w.?

Baginda s.a.w. menjawab, “Jangan, mereka tidak tahu. Mungkin kali ini mereka tidak memeluk Islam, tetapi anak-anak dan keturunan mereka mungkin akan memeluk Islam suatu masa nanti…”.

Hati ana menangis setiap kali membaca catatan sirah ini. Betapa kasih dan sayang Nabi Muhammad s.a.w. kepada umatnya.

Apabila ada individu yang punya masalah atau bersedih dan meminta nasihat dari ana, tiada jawapan atau solusi yang terbaik melainkan mengingatkan mereka agar kembali pada Allah s.w.t.

Ana juga manusia biasa. Ada kalanya iman turun dan naik. Ana langsung tidak punya penawar untuk ubat hati melainkan ianya ada pada Allah.

Kerana apa?

Kerana masalah itu, cabaran itu, kesedihan itu adalah ciptaan Allah. Maka, sudah pasti solusi dan jalan penyelesaiannya juga ada pada Allah s.w.t.

Kembalilah…Kembalilah pada Allah.
Dia sebaik-baik penjaga.



JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Isnin, 20 Mei 2013

Allah, Sandaran Hati.



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Ketika ini, baru sahaja mendapat khabar dari seorang sahabat mengatakan beliau berada dalam wad. Anaknya demam panas dan diserang sawan. Ana hilang kata. 

Hanya nama Allah yang mampu ana sebutkan buatnya.

Allahu Allah.
Hasbunallah Wa Ni’mal Wakil…

Dalam seminggu dua ini, inbox facebook dan mesej di telefon bimbit dihujani dengan pelbagai soalan kehidupan. 

Kadang-kala ana duduk termenung sambil hati bermonolog sendiri. “Ramai yang datang kepadaku dan meluahkan masalah sendiri. Namun, apakah terdetik juga dihati mereka bahawa hidupku jua sering diuji?”.

Dalam diam, ana akui kebenaran kata-kata seorang pak kiyai yang diceritakan oleh Ustazah Norhafizah Musa dalam segmen Usrati di Ikim.fm.

“Ada seorang pak Kiyai (guru pondok di Indonesia), ramai yang bertanya soalan kepadanya. Ada yang tanya berkaitan masalah dengan suami atau isteri, masalah dengan teman sekuliah, masalah kewangan dan banyak lagi. Soalan yang banyak itu dijawab dengan satu jawapan sahaja.”.

“Apabila seorang manusia belum sempurna imannya, dia akan sering merungut dengan aturan Allah. Sering mempersoalkan apa yang berlaku dalam hidupnya. Namun, jika imannya sempurna dan yakin dengan Allah, dia akan sering berlapang dada dan menjalani hidupnya dengan tenang”.

Ana teringat kata-kata seorang ustaz ketika dalam kuliah ilmu berkaitan rukun iman. 

“Kalian tahu kenapa percaya kepada qada’ dan qadar itu diletakkan dibawah sekali?”, tanya beliau.

Ramai menggelengkan kepala termasuk ana sendiri.

“Ini kerana, itulah rukun yang paling susah untuk diimani oleh manusia. Kita mampu beriman kepada Allah, namun belum tentu mampu beriman kepada qada’ dan qadar. Tak percaya? Cuba tanya pada diri sendiri, apakah kita mudah untuk redha dengan perkara yang berlaku dalam hidup?”.

Ana diam. Kena tepat pada batang hidung sendiri.

Pedoman diri

Apabila berbicara soal ini, ana jadi rindu pada Rasulullah s.a.w.

Kerana apa? Kerana Baginda s.a.w. adalah sebaik-baik pedoman dan tauladan buat umat manusia. Tiada manusia lain yang lebih baik darinya.

Baginda s.a.w. adalah manusia yang sangat redha dengan aturan Allah. Ketika masih kecil, sudah bergelar yatim. Dalam usia muda, perlu berdikari sendiri. Hidupnya penuh dengan cabaran.

Saat membaca sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w., hati terasa sangat dekat dengan Allah. Ini kerana, Baginda s.a.w. menjadikan Allah s.w.t. sebagai matlamat utama dalam hidupnya, tiada yang lain.

Baginda s.a.w. sangat bersangka baik dan yakin dengan Allah s.w.t… Aturan hidupnya sentiasa dalam dakapan kasih sayang Allah. Dalam duka, pasti terselit bahagia.

Kembali Pada Allah s.w.t.

“Jika kita ingin mengubah dunia, kita perlu mengubah manusia yang berada didalamnya. Jika kita ingin mengubah manusia, kita perlu mengubah hati yang berada didalamnya. Dan jika kita mahu mengubah hati yang berada dalam manusia, kembalilah pada Allah s.w.t…”.

Apabila ada individu yang mengadu berkaitan masalahnya, ana cuba bawa dia kembali mendekati Allah s.w.t… Tiada yang lain, hanya Dia yang mampu berikan solusi dan ketenangan hidup.

Manusia tiada kuasa,
               tapi Allah Maha Kuasa.           


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)