Sabtu, 11 Mei 2013

Menjemput Rezeki



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Ana teringat satu status facebook dari sahabat kenalan semasa di universiti dulu,“dalam proses untuk mencari kerja baru, doa-doakanlah moga Allah murahkan rezeki”.

Ana senyum sambil menaip kata-kata buatnya, “menjemput rezeki lebih mudah daripada mencari rezeki. Bagaimana caranya? Solat sunat dhuha, membaca surah al-waqiah, sentiasa beristighfar, perbanyakkan sedekah, menjauhi maksiat dan banyak lagi”.

Mungkin ramai yang tidak tahu perihal ini tetapi itulah hakikatnya, menjemput rezeki lebih mudah berbanding mencari rezeki. 

Rezeki, Allah yang pegang.
Minta dengan Dia dulu,
baru usaha yang selebihnya.

Konsep rezeki bukan sahaja pada duit, dikurniakan kesihatan yang baik, anak-anak dan pasangan yang soleh dan solehah juga adalah rezeki dari Allah. Ada orang mungkin nampak miskin, namun Allah ‘kayakan’ dia dengan anak-anak yang ramai dan berjaya.

Ana membuka perniagaan melalui online dan menerima tempahan daripada pelanggan. Apabila bekerja sendiri dan bukan kerja makan gaji, ana sangat yakin rezeki itu ada pada Allah. Cuma diri sendiri kena pandai untuk ‘jemput’ rezeki itu hadir menghampiri kita.

Ajaibnya sedekah

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti dengan sebiji / sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai (butir), pada tiap-tiap tangkai  pula ada seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”.

[Surah al-Baqarah ayat 261]

Allah s.w.t. memberi perumpamaan yang sangat jelas dalam al-quran berkaitan sedekah. Contoh mudah daripada perumpamaan ini adalah kita menderma duit untuk pembinaan masjid di kampung. 

Selesai pembinaan tersebut, para jemaah masjid sentiasa menggunakan masjid tersebut bukan setakat untuk solat, malah digunakan untuk majlis ilmu, mesyuarat berkaitan permasalahan ummah, tempat mengagihkan bantuan zakat kepada asnaf dan banyak lagi.

Semua perihal kebaikan yang dilakukan di masjid tersebut, pahala itu terus mengalir kepada kita bertahun-tahun selagimana masjid itu masih berdiri kukuh walaupun kita sudah meninggal.

Sekiranya ‘kalkulator pahala’ mampu kita lihat dan membuat pengiraan pahala, sudah pasti kita menjadi jutawan akhirat. Hanya menderma RM5 untuk pembinaan masjid, namun ianya ‘membiak’ melalui program-program dakwah dan kebajikan yang dilakukan. Allahu Allah.



Bantuan tambahan

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya”.

[Hadis Muslim, Kitab al-Wasiyyah, Bab Ma Yalhaq al-Insan Min al-Thawab]

Perkara pertama yang disebut dalam hadis ini adalah sedekah jariah iaitu sedekah yang berterusan dan berkekalan manfaatnya untuk masyarakat umum. Semasa hidup di dunia, si mati melakukan amalan tertentu yang mana pahala tersebut tetap mengalir padanya walaupun sudah meninggal dunia.

Apabila sudah meninggal dunia, pastinya kita sudah tidak dapat untuk kembali semula di dunia dan ketika itu tidak ada satu pun amalan yang mampu membantu kita di alam barzah, maka pahala sedekah ini datang menghampiri dan membantu kita ketika bersendirian melalui perjalanan di alam barzah.

Mungkin juga ketika di dunia, ada individu yang tidak sempat untuk berkahwin dan tidak mempunyai anak yang soleh, maka pahala bersedekah inilah yang akan membantunya untuk melalui kehidupan selepas mati.

Jutawan Akhirat


“sedekah tidak pernah membuatkan kita miskin”

Ana sangat gemar dengan kata-kata ini. Sangat tepat dan benar sepertimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. buat para dermawan yang ikhlas mendermakan hartanya pada jalan Allah.

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”

[Surah Al-Baqarah, ayat 245]

Apa yang kita sedekahkan itulah sebenarnya ‘saham’ atau ‘harta’ milik kita ketika diakhirat dan apa yang ada dalam poket atau bank atau dalam tangan kita, itu belum lagi milik kita.

Ana teringat kisah benar yang dilalui oleh sahabat ana sendiri. Ana pernah menulis berkaitan kesusahan yang dialami oleh Kak Yah sekeluarga dalam blog ini dan beliau membacanya.

Ketika itu beliau dan keluarga juga dalam kesempitan wang, namun hatinya yang begitu mahu membantu Kak Yah membuatkan beliau menderma sebanyak RM50. Tidak lama selepas itu, duit RM50 ‘dikembalikan’ semula kepadanya hasil daripada keuntungan jualan barang.

Beliau pernah bertanya kepada suaminya, apakah perlu minta izin dari suaminya apabila mahu menderma atau memberi sedekah kepada insan yang memerlukan? Suaminya memberitahu, dermakan sahaja tanpa perlu minta izin daripadanya.

Lalu kisah beliau mendermakan duit kepada Kak Yah diceritakan kepada suaminya yang ketika itu sedang terbaring kerana jatuh sakit. Apabila diberitahu duit yang didermakan itu ‘dikembalikan’ semula melalui keuntungan jualan yang diperolehi membuatkan suaminya mengalirkan air mata.

Itu membuatkan beliau sekeluarga bertambah yakin terhadap ‘kuasa sedekah’. Walaupun mereka sendiri dalam kesempitan wang, tetapi disebabkan keinginan dihati yang mahu turut membantu membuatkan beliau nekad untuk sedekah walaupun nampak kecil dimata manusia, namun besar ‘dimata’ Allah s.w.t..

Jika tidak mampu memberi sedekah dalam bentuk kewangan, boleh sedekah melalui sumbangan tenaga pada jalan Allah. Jika tidak mampu, senyumlah ketika menemui insan sekeliling.

Senyum, ibadah tanpa kos! [^^,]
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui…


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Isnin, 29 April 2013

Wanita Juga Boleh Berbisnes



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Alhamdulillah atas keizinan Allah. Dapat juga ana luahkan sedikit masa untuk menukilkan sedikit perkongsian berkaitan buku yang sudah lama ana khatam.

Tajuk buku ini berjaya menarik perhatian ana untuk membelinya walaupun ketika itu ‘terliur’ dengan buku yang lain disamping kulit depan buku ini sangat cantik lakarannya.
Tajuk buku ini adalah “Wanita Juga Boleh Berbisnes; Berguru Kepada Khadijah” yang ditulis oleh seorang penulis dari Indonesia iaitu Muhammad Abu Syauqi Banna.


Penulis berasal dari Bogor, Indonesia. Lahir pada November 1975. Minat membaca dan menulis sejak dari kecil hasil asuhan ibubapanya. Tulisan pertama yang dihasilkan adalah pada darjah 5 sekolah rendah.

Pernah menyertai beberapa majalah sebagai wartawan. Kini beliau merupakan ketua editor sebuah majalah Islah. Juga merupakan seorang pendakwah muda yang agresif dalam memberi syarahan di serata Indonesia.

Itu adalah biodata ringkas penulis buku ini yang termuat dalam buku pada helaian kertas yang terakhir. 

Buku ini sangat bagus bagi ana kerana hujah yang diberikan dalam menyokong penulisannya bukan sahaja bersandar pada al-Quran, as-sunnah, kisah para peniaga wanita malah turut diaduan dengan isu yang berkaitan pada masa kini.

Pemulaan buku ini menceritakan bagaimana Islam memuliakan wanita. Kedatangan Islam yang mana permulaannya dibawa oleh Rasulullah s.a.w. mengangkat martabat seorang wanita ke tempat yang sepatutnya dan bukan lagi dipijak dan dihina pada zaman jahiliah.
Penulis juga menerangkan peranan seorang wanita sebagai isteri dan ibu dalam keluarga dan salah seorang anggota masyarakat. Tulisannya sangat terkesan pada hati dan membuka minda ana sendiri.

'Clik' untuk tumbesaran :)

Idea dan ilham untuk menulis bait kata diatas muncul ketika sedang membaca buku ini. Sangat membuka minda sehingga memotivasikan diri ana sendiri untuk menjadi mukminah yang professional dengan menguasi pelbagai bidang dan kemahiran. Allahu Allah.

Tidak kurang dengan itu, penulis juga menerangkan sedikit sebanyak berkaitan selok belok dalam berniaga. Dari segi modal, pengurusan syarikat, barang yang ingin dipasarkan, strategi perniagaan dan banyak lagi.

Ilmu sebegini sangat berguna buat para muslimah yang begitu minat untuk memulakan perniagaan. Maka, ana sarankan agar buku ini dijadikan sebagai rujukan buat para usahawan wanita.

Impian ku :)
Moga peroleh manfaat. Sesungguhnya Allah s.w.t. lebih mengetahui.

“JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI..(^^,)”