Khamis, 15 November 2012

Padanya Ada Keberkatan



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah atas nikmat Islam, Iman dan Ehsan yang telah Engkau anugerahkan pada hamba ini, semoga ianya terus kekal subur. Selawat dan salam buat pembawa rahmat ke seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w kaum kerabat Baginda s.a.w. Tidak lupa jua buat para sahabat, dan umat Islam yang setia mengikutinya.

Ana teringat satu kisah yang dilalui sepanjang pengembaraan di bumi Allah s.w.t. Ianya berlaku semasa mengikuti kem di Kuala Kangsar, Perak pada semester 7. Pada mulanya, tertanya juga kenapa yang sudah ‘tua’ dan senior perlu dipanggil untuk ikuti kem kepimpinan sedangkan masih ramai yang muda-muda dan junior yang perlu diasah bakat kepimpinan.

Tidak dinafikan jiwa lebih sukai aktiviti lasak, masuk hutan adalah aktiviti yang paling ana suka. Mungkin sudah ‘terdidik’ dengan abah dan ummi kerana mereka merupakan penasihat kadet polis dan ummi juga bekas pengakap semasa di maktab dan sering masuk hutan.

Cuma satu ini yang kekal dalam ingatan ana sampai sekarang. Ianya mampu mengetarkan hati dan jiwa tatkala mengingatinya semula. Mungkin nampak kecil pada pandangan manusia lain, tapi bagi ana ianya mampu membuatkan ana mengalirkan air mata keinsafan.

Untuk ‘tembak’ iman sendiri dan membuat survey kepada orang lain, maka ana tulis di dinding facebook untuk melihat respon sahabat facebook.


Ramai sangat yang memberi komen dan juga hujah berdasarkan ilmu dan pendapat masing-masing. Yang ‘like’ dan baca dalam diam pun ramai. hehe! Jadi, siapa kata facebook nie hanya untuk suka-suka je? :p

Ana ada cakap yang nak letak semua komen tu dalam blog. Tetapi bila diambil dari facebook ke dalam program, terasa macam panjang sangat. Jadi, ana ambil komen yang sangat ilmiah dari yang lain. 



Ana senyum dan kembali koreksi diri. Tercari-cari juga video semasa ikuti kem tersebut tetapi sayangnya tidak jumpa. Ana yakin masih simpan video tu, moga Allah izin untuk ana jumpa video tersebut kembali.

Kisahnya begini. Ada satu slot, seorang fasilitator meminta kami senaraikan apa yang akan kami lakukan dahulu apabila mahu membuat sesuatu. Maka, banyaklah pendapat dan hujah yang para peserta berikan.

Fasilitator senaraikan kesemua pendapat dan hujah yang ada diatas papan putih. Ianya berkaitan perancangan kerana kesemuanya dari kami dari pelajar pengurusan. Maka, fasilitator padam apa yang perlu dan kekalkan isi penting. Antara sebahagian isinya, ana tulis seperti di dinding facebook tu.

Daripada isi tersebut, kami dibahagikan dalam kumpulan. Seingat ana, dalam 10 kumpulan. Dalam kumpulan tersebut ada ketua dan kami perlu berdebat dan berhujah dengan kumpulan lain bahawa pendapat kami itu betul.

Fuh~ memang panas sebab masing-masing tidak mahu mengalah. Setelah itu, untuk menghangatkan lagi keadaan, fasilitator kecilkan lagi skop dan kumpulan. Jadi, tinggallah lima kumpulan sahaja. Kami berdebat lagi untuk pertahankan pendirian. 

Tersenyum sendiri bila ingat balik kerana dalam kumpulan ada yang ubah pendirian dan ‘lompat’ masuk ke kumpulan yang lain setelah koreksi hujah-hujah yang kumpulan lain berikan. 

Fasilitator minta kami buat satu pilihan saja, yang manakah akan kami lakukan dahulu apabila mahu membuat sesuatu. Tetapi sayangnya masing-masing berkeras dengan hujah masing-masing dan tidak mahu mengalah.

Akhirnya, fasilitator minta dua orang wakil dari setiap kumpulan untuk keluar dari dewan dan buat keputusan mewakili semua peserta untuk pilih satu saja. Ketika itu barulah nampak rasionalnya, walaupun mahu pertahankan hujah masing-masing. 

Kami mula berhujah dan ‘komen’ pendapat setiap kumpulan. Buntu juga ketika itu kerana belum jumpa solusi dan kami semua berdiam diri. Saat itu, ana dapat satu idea dan mula buka bicara.

“Bismillahhirrahmanirrahim. Okey baik, macam nie…..”, masa nie ana terhenti seketika, hati terus terdetik “Allah…!”. Air mata nak mengalir dah, tak sangka ‘solusi’ Allah hadir ketika dalam kekalutan. Ana ambil beberapa saat untuk bertenang dan teruskan bicara. 

“Saya pilih kumpulan doa. Jika korang perasan, saya ada sebut basmallah diawalnya. Itu perkara yang saya cuba buat terlebih dahulu tidak kira dalam apa hal sekalipun, dan korang tahu apa maksudnya dan apa yang saya harapkan? Saya berharap semua yang saya lakukan kerana Allah dan bagi saya, itu adalah doa. Ya, doa!”. 

Mereka semua diam. Ada seorang membuka bicara, “baik, saya setuju”. Akhirnya ramai yang berkata, “Ya, saya juga setuju” dan yang lain turut anggukkan kepala. Alhamdulillah, kami jumpa solusinya setelah hampir satu jam berdebat.

Fasilitator minta salah seorang wakil dari kami untuk bentangkan solusinya dan mereka sepakat untuk ana bentangkannya. Masa nie, jantung berdegup kencang. Berdebar sangat-sangat.

Mana tidaknya, kem nie kebanyakan tidak punya fikrah Islam dan ana tidak pasti apakah mereka akan mengerti apa yang bakal ana katakan. (Fikir negatif, terukkan? :p ).

Perkara pertama yang ana buat sambil kaki melangkah ke hadapan dewan. Tarik nafas dan muhasabah diri sambil hati berkata, “ini dakwah, sampaikanlah walaupun sepotong ayat. Moga mereka makin dekat dengan Allah…”.

Ana ambil mikrofon dari fasilitator dan mulakan bicara dengan basmallah. Ana terjemahkan maksud basmallah dan kenapa kami sepakat untuk memilih kumpulan doa. Sebaik sahaja ana katakan kami setuju untuk meletakkan kumpulan doa di tempat pertama, kumpulan yang dimaksudkan terus bersorak tanpa ana sempat habiskan bicara. 

Entah mereka mengerti atau tidak maksud sebenar yang ingin ana katakan. Tapi ana lega kerana sudah menyampaikan apa yang sepatutnya. Islam tetap dijulang! :)

Bermula dari hari itu, ana cuba istiqomah dengan basmallah kerana ana tahu padanya ada keberkatan. Dari kalimah yang secebis itu punya berjuta hikmah. Beruntunglah mereka yang sentiasa ingat Allah dalam setiap hal yang mereka lakukan. MasyaAllah.


Awal Muharam sudah pun tiba dan ramai yang membuat azam baru untuk berhijrah ke arah lebih baik. Masing-masing sudah senaraikan apa yang mahu dilakukan sepanjang dalam tempoh satu tahun ini.

Jika ditanya kepada ana, apakah azam baru. Banyak sangat rasanya ingin diperbaiki dan ingin dicapai dalam tempoh satu tahun.  Mahu segera sambung master, terbitkan buku sendiri, kembangkan perniagaan online, tambahkan hafazan al-quran dan banyak lagi.

Tetapi kali ini ana mahu minta satu sahaja dan berazam supaya terus kekal dalam hati. Iaitu kalimah basmallah, selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w. sentiasa meniti dibibir dan bergetar dihati supaya segenap kerja dan perkara menjadi ibadat dan kebaikan untuk ummah. Simple tetapi sukar untuk dilakukan. Wallahua’lam.

.:: Salam Maal Hijrah ::.

Tasbih Digital. Azam baru!

JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)

Isnin, 5 November 2012

Indahnya Sabar & Syukur



“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Segala puji hanya bagi Allah yang telah begitu banyak memberikan kenikmatan sehingga kita tidak mampu menghitungnya. Selawat dan salam kepada kekasih yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan mereka yang istiqomah mengikuti Baginda s.a.w

Alhamdulillah wa syukrillah, sangat bersyukur apabila diri sendiri dapat ‘kembali semula’ untuk membaca buku. Rasanya sudah lama ana tidak berkongsi mana-mana buku dalam ‘diari maya’ nie. Paling akhir ana kemaskini kira-kira tiga atau empat bulan lepas.

Allahu Allah, tak terkata rasa hati. Sangatlah sedih dengan diri sendiri sebab tidak mampu istiqomah untuk habiskan sebuah buku walaupun dalam tempoh satu bulan. Baca separuh, tinggal, sebab 'terliur' dengan buku lain. Salah satu sebab tidak mampu istiqomah habiskan satu buku.

Apabila sudah bekerja dirumah, pastilah banyak masa dihabiskan untuk menguruskan rumah dan jaga adik-adik. Ditambah pula apabila tempahan tudung labuh dan niqab masuk banyak. Ana tahu, ini cuma alasan kerana setiap orang mampu dan diberi peluang untuk berusaha ke arah yang lebih baik. 



Terasa diri tempang seketika apabila tidak membaca buku. Terasa kekurangan ilmu yang teramat sangat. Bagi ana, insan yang membaca punya pemikiran yang tajam, minda yang terbuka, ilmu yang sentiasa dikemaskini, lontaran pendapat dan hujahnya sentiasa berpandukan kepada buku atau kitab yang dibaca.

Apatah lagi wahyu pertama yang turun kepada manusia agung (Nabi Muhammad s.a.w) adalah iqra’. Dengan hanya satu buku, seolah-olah kita menjelajah ke seluruh dunia, seolah-olah kita pergi ke masa lalu dan masa depan melalui ‘mesin masa’ melalui buku yang kita baca.

Mana tidaknya, apabila kita membaca kitab karangan para ulama’, seolah-olah kita ‘hidup’ dizamannya dan sedang ‘bersoal jawab’ dengan beliau. Apabila kita membaca buku yang ditulis oleh penulis dari barat, seolah-olah kita berada ditempatnya dan sedang melalui kisahnya, walhal kita berada didunia yang berbeza dengannya. Itulah hebatnya insan yang membaca. Allahu Allah, semoga diri sentiasa istiqomah.

Jadi, apa yang ana buat untuk kembali istiqomah? Ana tahu ana tidak mampu untuk membaca apabila mata terpandang kain-kain yangmasih banyak belum dijahit. Ana tahu ana tidak mampu untuk duduk diam apabila ada adik-adik yang meminta itu dan ini untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

Maka, ana bawa buku ke mana sahaja ana pergi apabila keluar rumah. Adik ana pernah ‘merungut’ apabila ana minta dia pegang beg ana. Katanya, “beratnya beg mu, angah”. Ana jawab, “bawa buku, mestilah berat”.

Ada sahaja masa dan ruang seperti ketika kereta berhenti seketika di depan lampu isyarat, sambil menanti lampu isyarat hijau, ana sempat membaca beberapa helai muka surat. Sambil menanti orang lain selesai membeli barang, ana buka buku dan baca.

Buku yang ana baru selesai baca ini sangat istimewa bagi ana sebab ia mampu buatkan ana tidak sedar akan keadaan sekeliling. Selalunya ana akan baca ketika sedang menunggu barang yang dipos laju siap diproses.

Beberapa kali kerani di pejabat pos panggil, tetapi ana tidak sedar hinggalah ada yang mencuit bahu ana mengatakan barang ana sudah siap diproses. Sangat asyik membacanya…(^^,)

Kulit depan buku...(^^,)

Banyak sangat ilmu yang ana dapat melalui buku ini. Penulisannya bukan setakat disertakan dengan ayat al-Quran, hadis, kisah para Nabi dan ulama’, malah sentiasa dikaitkan dengan isu semasa disamping hikmah dalam kehidupan masyarakat sekeliling. Buku ini juga mengandungi penulisan karangan dari para ulama’ yang dicedok dari beberapa kitab.

Terasa ‘ditembak’ berkali-kali dan dimuhasabah sendiri setiap kali membaca bait-bait kata yang ditulis. Sangat sesuai buat mereka yang mahu ‘cuci’ hati dan berhijrah ke arah lebih baik. Buku ini ditulis oleh penulis dari Indonesia iaitu Abdillah F.Hasan. 

Ketika mencari kulit depan buku tersebut, ana jumpa satu lagi buku yang beliau tulis iaitu ‘setengah syukur, setengah sabar’. Terasa mahu pergi cari buku ini pula di kedai-kedai buku. 


Maka, ana syorkan kepada para pembaca sekalian untuk menjadikan buku-buku ini sebagai koleksi peribadi untuk tarbiyah hati dalam menjadikan diri sebaik-baik hamba buat Allah s.w.t. dan sebaik-baik manusia untuk orang lain.


Mahu tahu sesuatu?
Sangat indah bila bercinta dengan buku…(^^,)
Wallahua’lam.


JOM KITA MENGEMBARA LAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI…(^^,)