“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat Iman dan Islam ini, moga cinta ku kepada Mu sentiasa kembang mekar. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Hati ini sebak untuk mencoret tentang “tetamu” yang penuh barakah ini. Tinggal beberapa hari sahaja lagi tetamu ini akan berada dengan kita semua. Begitu cepat masa berlalu, hati tertanya-tanya….“adakah layanan ku kepada tetamu ini adalah yang terbaik berbanding kedatangannya tahun lalu?”
Di corong-corong radio dan televisyen, putaran lagu lebaran sudah kedengaran dan hampir sahaja meniti di bibir tiap manusia yang tidak sabar untuk menunggu kedatangan syawal.
Ana akui, kadang-kadang diri ini juga terkesan dan tidak sabar untuk menunggu kedatangan syawal iaitu hari kemenangan buat Umat Islam setelah berpuasa selama sebulan. Tetapi hati ini juga tidak sanggup untuk berpisah dengan Ramadhan.
Kadang-kadang hati ini terdetik, bagaimana sekiranya ini adalah ramadhan yang terakhir buat diri ini?